PROGRAM KESEDARAN MINDA SEMPENA SAMBUTAN HARI KESIHATAN MENTAL 2024 DI SEKOLAH KEBANGSAAN KINDU, TUARAN
Pada 23 Oktober 2024, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Psikologi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan CHAMP Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti HUMS, telah berjaya melaksanakan Program Kesedaran Minda bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental bertemakan "It's Time to Prioritize Mental Health 2024" bertempat di Sekolah Kebangsaan Kindu, Tuaran.
Program ini telah dikendalikan oleh seramai 18 orang yang terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi Klinikal, Jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan, Pelatih Psikologi Klinikal dan Pelajar Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Program dimulakan dengan sesi interaktif bertajuk "Ciri-ciri Anda" yang dikendalikan oleh Pakar Psikiatri, Dr. Thong Vie Chong, bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi dan memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Seterusnya, program diteruskan dengan dua siri ceramah yang telah disampaikan kepada seramai 71 orang peserta yang berusia antara 9 hingga 10 tahun. Ceramah pertama bertajuk "Kenali Emosi Saya" telah disampaikan oleh Pegawai Psikologi Klinikal HUMS, Cik Andrea Wong, manakala ceramah kedua bertajuk "Mengurus Emosi Saya" telah dikendalikan oleh Pelatih Psikologi Klinikal, Cik Amirah Jalilah. Program turut dimeriahkan dengan sesi interaktif "Jom Buat Drama" yang melibatkan penyertaan semua kumpulan peserta. Di samping itu, pihak CHAMP HUMS turut mengadakan pameran dan aktiviti yang menarik untuk para peserta yang terlibat. Penganjuran program ini jelas membuktikan komitmen berterusan HUMS dalam usaha mempromosikan kesihatan mental dalam komuniti, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pihak HUMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan Kindu, Tuaran atas kerjasama dan kesudian dalam menjayakan program ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak Pengurusan Tertinggi HUMS serta Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti HUMS atas kepercayaan dan sokongan padu yang telah diberikan dalam merealisasikan program yang bermakna ini.