Pada 23 hingga 25 Ogos 2024, Persidangan Farmasi Negeri Sabah ke-35 telah diadakan di Auditorium FPSK, UMS. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, JKNS dengan kerjasama Persatuan Farmaseutikal Sabah dan Hospital Universiti Malaysia Sabah. Persidangan yang bertemakan “Innovating Today For Tomorrow’s Healthcare: Shaping The Future of Pharmacy ini telah dihadiri seramai 178 peserta dan dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, JKNS iaitu YBhg. Datuk Dr. Asits bin Sanna.
Antara intipati ucapan PKNS adalah dengan adanya Hospital Pengajar UMS, sudah tiba masanya untuk mewujudkan Fakulti Farmasi di UMS yang mana dapat menghasilkan lebih ramai graduan farmasi dari kalangan anak Sabah bagi mengatasi kekurangan Pegawai Farmasi khususnya di negeri Sabah sendiri.
Persidangan ini bukan sahaja menghimpunkan peserta dari kalangan Ahli Farmasi, tetapi juga dari kalangan Pen Peg Farmasi dan profesional kesihatan lain bagi membincangkan hala tuju kerjaya farmasi di Sabah serta menimba ilmu pengetahuan daripada para penceramah yang pakar dalam bidang berkaitan.
Bagi pihak Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Persidangan bagi HUMS, jutaan terima kasih diucapkan kepada Pihak Pengurusan HUMS atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan Persidangan Farmasi Negeri Sabah Ke-35 Tahun 2024.